Monday, October 20, 2008

Gulai Masak Lemak Cili Api Pucuk Tangki dengan Ikan Bilis...

Salam...
Dah puas makan rendang, ketupat, lemang, kuah kacang kan? Apa kata kalau anda cuba resipi kali ni.

Saya sekeluarga ke Pasar Tani Tanjong Ipoh 2 minggu lepas. Kami ke sana sebab hubby kata masih banyak sayur kampung di jual di sana. Kami bertolak jam 7 pagi dari Seremban.

Bila tiba di sana, segala benda nampak menarik. Terus terang saya beritahu, saya sebenarnya tidak begitu mahir masak sayur kampung. Tapi sebab hubby dah beriya beli, kita pun tak nak kalah.

Jadi saya sahut cabaran untuk menyediakan gulai masak lemak cili api pucuk tangki dan ikan bilis. Menurut ibu saya, pucuk tangki memerlukan masa yang agak lama untuk empuk, jadi dia cadangkan saya masak bersama ikan bilis.


Ni dia rupa pucuk tangki, macam daun semalu tapi tak berduri. Ibu saya kata tempat lain panggil pucuk puteri (kena confirm semula, kurang pasti!). Sayur ni dipanggil pucuk tangki sebab ia tumbuh ditempat berair dan batangnya mempunyai selaput seperti span berwarna putih. Cubalah resipi saya, kalau terasa bosan dengan sayur di pasar.

Gulai Masak Lemak Cili Api Pucuk Tangki & Ikan Bilis

Bahan:
Pucuk tangki, secukupnya, bersihkan dan tos
Segenggam ikan bilis, basuh dan tos
Cili api, secukupnya mengikut citarasa
Kunyit hidup, 1 inci
Santan pekat
Santan cair
2 asam keping
Garam

Cara:
1. Tumbuk kunyit hidup, cili api dan sedikit garam sehingga lumat.
2. Masukkan bahan yang ditumbuk tadi ke dalam periuk bersama santan cair dan asam keping.
3. Masak santan seketika dan masukkan pucuk tangki dan ikan bilis.
4. Masak sehingga pucuk tangki empuk atau lembut.
5. Masukkan santan pekat dan garam. Masak sehingga mendidih.

No comments: